Pendekatan dalam Pengurusan Bilik Darjah
Pendekatan ialah arah atau hala yang diambil oleh guru untuk menuju sesuatu sasaran. Guru memainkan peranan penting dalam membimbing dan menarik minat pelajar belajar tentang perkara atau benda baharu. Pendekatan yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keperluan pelajar kerana ianya akan mempengaruhi tingkah laku mereka. Dalam pendekatan yang digunakan, guru juga memainkan peranan penting dalam menjaga dan mengembangkan disiplin pelajar di dalam dan luar bilik darjah. Pendekatan yang digunakan nampak mudah tetapi jika tidak mahir dalam melaksanakannya, ia akan memberi kesan buruk kepada guru, pelajar dan sekolah.
Terdapat enam pendekatan yang boleh digunakan. Pendekatan yang pertama ialah pendekatan autoritarian. Autoritarian bermaksud tegas dan tiada tolak ansur. Guru kelas berkuasa penuh dalam pendekatan ini. Sebagai contoh, guru kelas akan menetapkan peraturan-peraturan bilik darjah tanpa berbincang dengan pelajar dan ianya wajib dipatuhi. Jika pelajar ingkar, tindakan akan dikenakan. Guru kelas juga berhak meminda peraturan tanpa persetujuan daripada pelajar. Semua tingkah laku dan perbuatan di dalam kelas adalah berpandukan peraturan yang ditetapkan. Peraturan di dalam bilik darjah sangat penting kerana ia merupakan garis panduan kepada tingkah laku pelajar. Antara peraturan yang boleh diwujudkan ialah peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, cara mendapatkan keizinan untuk ke tandas dan cara menjawab pertanyaan guru.
Pendekatan yang kedua ialah pendekatan permisif iaitu kebebasan. Pendekatan permisif mementingkan amalan demokratik dimana pendekatan ini bertentangan dengan pendekatan autoritarian. Permisif merupakan kebebasan melakukan sesuatu tanpa halangan daripada individu atau pihak lain. Kebebasan diberikan sepenuhnya kepada pelajar untuk membuat keputusan yang mereka rasa terbaik untuk dirinya. Guru hanyalah sebagai pembimbing yang berperanan memberi nasihat dan pandangan tetapi keputusan akhir adalah daripada pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, semasa berada di tingkatan empat pelajar akan membuat keputusan sama ada ingin mengikuti aliran sains atau aliran sastera. Pilihan yang dipilih haruslah bergantung kepada kemampuan dan kehendak pelajar sendiri. Natijahnya, pendekatan permisif adalah penglibatan dan gangguan guru pada tahap yang minima.
Pendekatan yang ketiga ialah pendekatan sosioemosi. Sosioemosi dalam kalangan pelajar boleh ditakrifkan sebagai satu proses berinteraksi dan mengadaptasikan diri dalam masyarakat. Pendekatan sosioemosi merupakan cara guru untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif kerana ia mempengaruhi emosi pelajar. Suasana kelas yang kondusif seperti kemudahan bilik darjah yang lengkap, aliran udara yang lancar dan pencahayaan yang baik akan melahirkan emosi yang positif untuk pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu memahami tingkah laku pelajar dengan mewujudkan komunikasi antara guru dengan pelajar dan komunikasi antara pelajar dengan pelajar. Komunikasi yang berterusan akan memberikan impak yang positif dalam bilik darjah di mana pelajar akan saling bekerjasama dalam melakukan sesuatu tugasan. Sekiranya guru mendapati pelajarnya mempunyai masalah, guru tersebut haruslah membantu menyelesaikannya dengan kadar yang segera agar masalah tersebut tidak mengganggu emosi seterusnya menyebabkan suasana kelas menjadi hambar.
Pendekatan yang keempat adalah pendekatan modifikasi tingkah laku. Modifikasi tingkah laku adalah langkah yang diambil berdasarkan prinsip psikologi untuk mengubah tingkah laku yang negatif kepada positif. Pendekatan modifikasi tingkah laku boleh dilakukan dengan memberikan peneguhan positif atau negatif seperti kata-kata pujian atau hukuman. Memberikan kata-kata pujian dan ganjaran kepada pelajar dapat menggalakkan tingkah laku yang diingini serta mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini. Walaubagaimanapun, peneguhan ini mempunyai beberapa kelemahan iaitu motif pelajar akan bertukar daripada memperoleh pembelajaran kepada mendapat ganjaran. Namun, pendekatan ini kurang berkesan untuk pelajar dewasa dan pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku yang serius. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku pelajar.
Pendekatan yang kelima ialah pendekatan kumpulan. Pendekatan kumpulan bermaksud pelajar bekerja dalam kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran dapat membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial. Walaupun berkumpulan, pelajar masih perlu mengekalkan individualitinya. Setiap pelajar dalam kumpulan bertanggungjawab untuk berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan menumpang dan mengikut sahaja. Guru haruslah sentiasa menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Hal ini supaya murid memahami peranan dan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan.
Pendekatan yang keenam ialah pendekatan pengajaran. Pengajaran boleh ditakrifkan sebagai satu aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Pengajaran juga boleh dihuraikan sebagai satu cara untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Pendekatan pengajaran boleh dibahagikan kepada tujuh iaitu pendekatan masteri, konstektual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penggabungjalinan pelbagai ilmu disiplin dan pembelajaran berasaskan masalah.
Rujukan:
Mariati binti Haji Abdul Manaf, Noriah binti Baharin, Noor Azizah binti Hj Shamsudin, Noor Masliyana binti Mohd Shaari, (2019). TOPIK 7: PENGURUSAN BILIK DARJAH. Diakses pada Mei 2022. Diperoleh daripada: https://slideplayer.info/slide/14134740/
Ustazah Afifah. Pengurusan Bilik Darjah: Satu Kajian Literatur Ringkas. Diperoleh daripada https://www.academia.edu/9034616/PENGURUSAN_BILIK_DARJAH_SATU_KAJIAN_LITERATUR_RINGKAS


Comments
Post a Comment